23 May
23May

KEPENTINGAN RUMAH TERBUKA

PERENGGAN PENDAHULUAN

PERKARA
BINAAN AYAT DAN HURAIAN

DEFINISI

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, rumah terbuka didefinisikan sebagai rumah yang dapat dikunjungi semua orang pada hari perayaan.

AYAT RANGSANGAN  1

Seyogia, sebagai masyarakat berbilang kaum di Malaysia, situasi rumah terbuka  sudah tidak asing lagi dan sering diadakan oleh setiap masyarakat tidak mengira agama apabila menjelangnya. Sambutan perayaan seperti Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji bagi penganut agama Islam, Hari Tahun Baru Cina bagi penganut agama Buddha dan perayaan Deepavali yang disambut oleh penganut agama Hindu.

AYAT RANGSANGAN  2

Bermula pada tahun 2000, kerajaan Malaysia telah memutuskan sebanyak enam perayaan kaum utama di Malaysia dianggap sebagai perayaan utama dan akan disambut sebagai perayaan peringkat nasional iaitu sambutan Hari Raya Aidil Fitri, perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Hari Krismas, perayaan Deepavali, perayaan Hari Gawai dan juga perayaan Hari Keaamatan.

AYAT RANGSANGAN  3

Sejak keputusan tersebut dikuatkuasakan, perayaan-perayaan kaum utama di Malaysia diraikan di peringkat kebangsaan anjuran bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri  setiap tahun.

AYAT RANGSANGAN  4

Sekiranya amalan menyambut perayaan-perayaan ini berterusan, sudah pasti keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia akan terus mampan.

FRASA MENARIK

Menyedari kesungguhan kerajaan menganjurkan rumah terbuka pada peringkat nasional, sudah pasti sambutan perayaan berkenaan ada kemaslahatannya kepada negara dan masyarakat kerana amalan rumah terbuka merealisasikan hidup muafakat membawa berkat.

UNSUR KBAT

Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menggariskan sembilan cabaran untuk merealisasikan Wawasan 2020, antaranya ialah pembentukan masyarakat yang bersatu padu dan penyayang. Salah satu cara merealisasinya adalah dengan melaksanakan amalan berkunjung ke rumah terbuka.

AYAT ARAHAN

Persoalannya, apakah kepentingan rumah terbuka kepada masyarakat Malaysia?



PENULISAN KARANGAN MENGGUNAKAN JADUAL PENGEMBANGAN IDEA ISI PERENGGAN PERTAMA


PERKARA
BINAAN AYAT DAN HURAIAN

TEMA KECIL/ KATA KUNCI ISI

Sebagai pelajar minda kelas pertama, saya berpendapat bahawa amalan rumah terbuka merupakan salah satu prakarsa untuk mengukuhkan dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.

AYAT HURAIAN 1

Hal ini demikian kerana pada zaman globalisasi kini, setiap ahli keluarga sibuk dengan aktiviti masing-masing seperti ketua keluarga mencari sumber rezeki untuk keluarga, si anak melanjutkan pelajaran seperti di sekolah berasrama penuh, atau bergelut dengan pembelajaran di menara gading sehingga masa senggang mereka agak terhad untuk bersama-sama keluarga tercinta.

AYAT HURAIAN 2

Oleh sebab itu, aktiviti rumah terbuka dapat menjadi tempat untuk mereka berkumpul bersama-sama untuk mengenal hati budi, berbual-bual untuk mengeratkan hubungan silaturahim yang terkikis akibat kesibukan masing-masing.

AYAT HURAIAN 3

Tambahan pula, rumah terbuka kebiasaannya dianjurkan pada setiap hari perayaan iaitu ketika setiap ahli keluarga sedang bercuti dan dapat menggunakan kesempatan tersebut untuk bersama-sama keluarga tercinta.

AYAT CONTOH

Selalunya, setiap ahli keluarga akan bekerjasama untuk memastikan hari terbuka berkenaan dapat dijayakan dengan sempurna dengan menjalankan aktiviti bergotong-royong seperti menghiaskan khemah, menyediakan juadah makanan dan melayan kedatangan kaum keluarga sepanjang aktiviti rumah terbuka dijalankan.

UNSUR KBAT 1

Sekiranya amalan rumah terbuka dapat diadakan, sudah pasti segala salah faham yang wujud dalam kalangan ahli keluarga dapat diredakan melalui pertemuan serta perbincangan semasa amalan rumah terbuka ini. Hal ini demikian akan dapat merapatkan semula silaturahim yang tercalar dalam kalangan ahli keluarga

UNSUR KBAT 2

Sebaliknya jika aktiviti rumah terbuka seperti ini tidak dapat dijalankan, sudah pasti ahli keluarga tidak dapat berkumpul bersama-sama dan hubungan silaturahim tidak akan dapat dibenih atau disuburkan dalam suasana perayaan yang mulia.

FRASA MENARIK

Menurut Saidina Abu Bakar, ‘Hiduplah seperti pohon kayu lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan. Dilempar orang dengan batu, tetapi dibalasnya dengan buah’ dan begitulah kiasan bagi sesiapa yang menjalinkan hubungan silaturahim.

AYAT  PENEGAS

Jelaslah bahawa amalan rumah terbuka mampu mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan anggota masyarakat. 



PENULISAN KARANGAN MENGGUNAKAN JADUAL PENGEMBANGAN IDEA ISI PERENGGAN KEDUA


PERKARA
BINAAN AYAT DAN HURAIAN

TEMA KECIL/ KATA KUNCI ISI

Sebenarnya, amalan rumah terbuka yang diwujudkan semasa hari perayaan banyak memberikan kemaslahatan terutamanya dalam mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan anggota masyarakat di negara kita

AYAT HURAIAN 1

Perpaduan yang terjalin sejak Malaysia mencapai kemerdekaan negara pada tahun 1957 dapat memudahkan pencapaian matlamat atau misi dan visi negara dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa yang harmoni.

AYAT HURAIAN 2

Selain itu, amalan rumah terbuka juga dapat memberikan makna besar kepada anggota masyarakat mengenai perpaduan yang perlu wujud bagi mengelakkan sebarang unsur prejudis terhadap keharmonian kaum dan masyarakat serta melupakan pertentangan pendapat, perbezaan idealogi, perbezaan konsep politik mahupun berlainan parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan

AYAT HURAIAN 3

Sambutan rumah terbuka ini terbuka kepada semua masyarakat Malaysia tidak kira warna kulit, agama, dan kaum akan mengambil kesempatan untuk sama-sama meraikan hari perayaan dengan suasana aman dan harmoni.

AYAT CONTOH

Oleh sebab itu, masyarakat majmuk seperti Melayu, India, Cina, Kadazan dan sebagainya boleh berkunjung ke rumah terbuka kaum lain tanpa berasa was-was atau bimbang akan keselamatan mereka.

UNSUR KBAT 1

Sekiranya amalan rumah terbuka ini tetap kukuh dalam kalangan masyarakat Malaysia, sudah pasti ukhuwah dalam kalangan masyarakat Malaysia akan kekal akrab.

UNSUR KBAT 2

Kesannya, amalan rumah terbuka dapat membenihkan perasaan muhibah antara satu sama lain dan mewujudkan kehidupan masyarakat yang lebih harmoni serta mengelakkan polemik yang mampu mencetuskan ketegangan dan perbalahan antara kaum

FRASA MENARIK

Pada waktu yang sama, setiap masyarakat yang menghadiri rumah terbuka dapat bermaaf-maafan dan menimbulkan rasa setikawan persis peribahasa buang yang keruh, ambil yang jernih

AYAT  PENEGAS

Tegasnya, konsep penyatuan antara kaum dapat dihidupkan melalui amalan rumah terbuka.



PENULISAN KARANGAN MENGGUNAKAN JADUAL PENGEMBANGAN IDEA ISI PERENGGAN KETIGA


PERKARA
BINAAN AYAT DAN HURAIAN

TEMA KECIL/ KATA KUNCI ISI

Dari perspektif lain, amalan rumah terbuka juga dapat membantu rakyat Malaysia memahami dan mengenali budaya kaum lain dengan lebih dekat.

AYAT HURAIAN 1

Hal ini demikian kerana masyarakat Malaysia yang terdiri daripada masyakat majmuk dapat bersama-sama merayakan hari rumah terbuka yang disambut dan diadakan oleh kenalan mereka sama ada mereka daripada kaum Melayu, Cina, India dan masyarakat minoriti yang lain.

AYAT HURAIAN 2

Amalan rumah terbuka ini juga membolehkan setiap kaum mengenali juadah kuih-muih dan makanan tradisional kaum lain. Selain itu, mereka juga dapat mengenali adat resam, pantang larang dan pakaian tradisi rakan-rakan mereka sendiri dengan lebih dekat.

AYAT HURAIAN 3

Oleh sebab itu, amalan rumah terbuka ini akan dapat melahirkan rasa hormat-menghormati budaya rakan-rakan yang bukan seagama dengan mereka, sama ada cara mereka makan, juadah kuih-muih dan makanan serta cara mereka sembahyang dan pantang larang yang mereka anuti.  

AYAT CONTOH

Secara tidak langsung, semangat toleransi akan tersemai dalam kalangan generasi Malaysia moden. Contohnya, setiap masyarakat akan menghormati cara berpakaian rakan-rakan mereka seperti orang Melayu bangga dengan baju Melayunya, orang Cina bangga dengan pakaian cheogsamnya, dan orang India dengan sari dan dhotinya.

UNSUR KBAT 1

Sekiranya amalan rumah terbuka ini terus diraikan dan menjadi budaya  masyarakat Malaysia, sudah pasti perasaan kasih sayang, hormat-menghormati, dan perpaduan masyarakat akan terjalin.

UNSUR KBAT 2

Sebaliknya, jika amalan rumah terbuka tidak diraikan antara masyarakat majmuk di Malaysia, sudah pasti hubungan antara kaum akan terancam dan terhakis sehingga menyebabkan berlakunya peristiwa hitam yang berlaku pada 13 Mei 1969.

FRASA MENARIK

Oleh sebab itu, usaha kerajaan untuk menjadikan rumah terbuka sebagai agenda kerajaan sejak tahun 2000 ini perlu diteruskan supaya peristiwa 13 Mei berlaku lagi. Bak kata pepatah, sebelum terhantuk baru tergadah, sudah tidak berguna lagi.

AYAT  PENEGAS

Tuntasnya, budaya dan adat resam kaum lain dapat dipelajari melalui amalan murni ini dan masyarakat Malaysia akan terus memahami budaya kaum lain melalui amalan kunjung mengunjung semasa rumah terbuka yang diadakan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.



PENULISAN KARANGAN MENGGUNAKAN JADUAL PENGEMBANGAN IDEA PERENGGAN PENUTUP


PERKARA
BINAAN AYAT DAN HURAIAN

AYAT PENYIMPUL

Setelah memberikan hujah-hujah dan pendapat-pendapat seperti yang diperkatakan di atas, bayangan kian jelas bahawa amalan rumah terbuka memang banyak membawa manfaat kepada masyarakat dan negara. 

AYAT CADANGAN

Oleh sebab itu, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan lebih mendalam oleh semua pihak sama ada konsep atau objektif rumah terbuka dianjurkan sebagai prakarsa untuk mengukuhkan dan mengeratkan hubungan kekeluargaan, perpaduan kaum dan membantu rakyat Malaysia memahami dan mengenali budaya kaum lain dengan lebih dekat.

AYAT CADANGAN TAMBAHAN TIADA DALAM PERENGGAN DIBINCANGKAN

Tambahan lagi, penganjuran rumah terbuka juga menjadi sumber daya tarikan kepada pelancong asing yang melancong di negara kita. Selain menjadi metodologi lain untuk masyarakat berbilang kaum menikmati dan merasai kepelbagaian masakan masyarakat Malaysia, rumah terbuka juga dapat menjadi sumber yang menyumbangkan pendapatan negara kerana berpotensi merancakkan industri pelancongan di negara kita.

AYAT HURAIAN MENGAPA

CADANGAN DIUTARAKAN

Oleh sebab itu, jelaslah bahawa rumah terbuka merupakan agenda kerajaan yang dapat memberikan impak kepada perpaduan kaum di Malaysia.

UNSUR KBAT

Tanpa adanya aktiviti rumah terbuka seperti ini, sudah pasti usaha kerajaan untuk merealisasikan cabaran  WAWASAN 2020 iaitu membentuk masyarakat yang bersatu padu dan penyayang hanya menjadi angan-angan Mat Jenin.

FRASA MENARIK

Walaupun negara kita hanya terlihat sebagai satu titik kecil dalam peta dunia, namun usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dapat dijadikan teladan kepada negara-negara di dunia agar kita akan dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.

AYAT HARAPAN

Semoga dengan adanya sambutan rumah terbuka seperti ini, perpaduan masyarakat Malaysia akan kekal harmoni sebagai usaha untuk memajukan negara bangsa.

Komen
* E-mel tidak akan diterbitkan di laman web.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING