Langkah Menulis Karangan
Sebelum menulis perkara yang dilakukan seperti di bawah, pelajar perlulah memilih sebuah tajuk daripada soalan-soalan yang diberikan:
- Baca dan fahami setiap tajuk / soalan yang diberi.
- Fahami bentuk soalan sama ada jenis berformat atau tidak berformat.
- Pelajar mesti memilih soalan / tajuk yang benar-benar boleh dikuasai
- Memahami benar-benar kata kunci atau kehendak soalan
Bagaimana hendak memahami kehendak soalan supaya tidak terkeluar daripada tajuk?
Kehendak soalan biasanya berada di akhir arahan seperti contoh-contoh di bawah:
CONTOH 1:
Sekolah anda telah mengadakan "Hari Sukan". Tuliskan sebuah karangan mengenainya.
CONTOH 2:
Sekolah anda telah mengadakan "Hari Sukan". Tuliskan laporan mengenainya untuk dimuatkan dalam majalah sekolah.
Komen: Tajuk karangan di atas adalah sama, namun berbeza dari segi formatnya. Soalan satu merupakan karangan biasa , manakala soalan 2 merupakan karangan berformat.
Tips: Adalah lebih baik jika pelajar menggariskan perkataan-perkataan yang menjadi kata kunci dalam soalan itu terlebih dahulu. Hal ini demikian bagi mengelakkan karangan daripada terpesong atau terkeluar daripada tajuk sebenar.
b. Menyusun rangka karangan
- Pilih mana-mana kaedah yang mudah bagi anda mencari isi
- Senaraikan semua isi penting secara ringkas yang mungkin.
- Susun isi mengikut urutan kepentingannya.
- Masukkan huraian serta contoh yang sesuai bagi setiap isi yang akan dihurai.
- Isi penting jangan diulang-ulang
c. Menulis karangan
- Semasa menulis karangan pelajar hendaklah memulakan dengan menulis pendahuluan satu perenggan terlebih dahulu.
- Setiap isi yang dihurai perlu ditulis dalam satu perenggan berserta dengan contohnya. Bahagian-bahagian karangan yang ideal:
- Perenggan Pendahuluan
- Perenggan isi pertama dengan contoh berkaitan isi pertama
- Perenggan isi kedua dengan contoh berkaitan isi kedua
- Perenggan isi ketiga dengan contoh berkaitan isi ketiga
- Perenggan isi keempat dengan contoh berkaitan isi keempat
- Perenggan Penutup
- Tulislah mengikut urutan rangka yang telah dibuat selain menjaga kekemasan tulisan.
d. Menyemak karangan
- Setelah habis menulis karangan pelajar perlu menyemak bagi memastikan jika ada tulisan anda yang kurang jelas, kesalahan ejaan, tanda baca, penggunaan imbuhan, struktur ayat yang salah dan aspek tatabahasa yang lain.
- Baca berulang kali bagi memastikan ketepatan karangan yang dihasilkan.
PERINGATAN !!!!

- Bagi karangan Bahagian B, pelajar perlu menulis karangan melebihi 350 patah perkataan
- Bagi memastikan karangan anda pada tahap cemerlang, pastikan karangan anda mempunyai tujuh perenggan atau melebihi tiga muka surat.
- Berikut merupakan anggaran jumlah perkataan bagi mendapatkan karangan yang menepati jumlah perkataan yang dikehendaki soalan.
Jenis Perenggan | Jumlah (Patah Perkataan) |
Pendahuluan | 70 |
Isi (5 Perenggan) | 1 Perenggan = 80 5 Perenggan = 400 |
Penutup | 70 |
- Jadi, jumlah keseluruhan karangan anda ialah 500 patah perkataan dan memenuhi kehendak arahan soalan.

Pembahagian masa
· Masa yang dicadangkan untuk menjawab soalan ini ialah 90 minit.
· Peruntukkan masa yang saya cadangkan adalah seperti berikut:
Strategi | Masa yang dicadangkan |
Membaca dan memahami arahan soalan | 5 minit |
Menyediakan rangka karangan | 10 minit |
Mengarang | 55 minit |
Menyemak | 10 minit |
Menyemak dan menyusun jawapan | 10 minit |
Jumlah masa | 90 minit |